Fashion Festival

Apakah "Islamic Fashion Festival"  di Monte Carlo "Islamic"?

Rujukan: Al Quran dan Hadis.

“Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu dan pakaian perhiasan dan pakaian yang berupa takwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari tanda-tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmatNya kepada hamba-hambaNya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur).” Surah Al-A’raaf : Ayat 26

“Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu, dan perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.” Surah Al-Ahzab : ayat 59

“Dan katakanlah kepada perempuan -perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau anak-anak mereka, atau bapa mertua mereka, atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tiadk berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.” Surah An-Nur : ayat 31


Yang di maksud “wa laa yubdiina ziinatahunnaa” (janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka), adalah “wa laa yubdiina mahalla ziinatahinnaa”, maksudnya janganlah mereka menampakkan tempat-tempat (anggota tubuh) yang di situ dikenakan perhiasan. [Lihat Abu Bakar Al-Jashshash, Ahkamul Qur`an, Juz III hal.316].

Selanjutnya, kalimah “illa maa zhahara minhaa” [kecuali yang (biasa) nampak darinya], ini bermaksud, ada anggota tubuh yang boleh dinampakkan iaitu wajah dan kedua telapak tangan. Demikianlah pendapat sebahagian sahabat, seperti Ibnu Abbas, Ibnu Umar dan juga Aisyah [Al-Albani, 2001:66].

Ibnu Jarir Ath-Thabari (wafat 310H) menjelaskan dalam kitab tafsirnya, Jami Al-Bayan fi Tafsir Al-Qur`an Juz XVIII ms 84, mengenai apa yang di maksud “kecuali yang (biasa) nampak darinya (illaa maa zhahara minha)”, katanya, pendapat yang paling mendekati kebenaran adalah yang mengatakan bahawa, yang dimaksudkan (dalam ayat di atas) adalah wajah dan dua telapak tangan.

Pendapat yang sama dinyatakan Imam Al-Qurthubi dalam kitab tafsirnya Al-Jamia li Ahkam Al-Qur’an, Juz XII hal. 229 [Al-Albani, 2001:50 & 57]. Jadi, apa yang biasa nampak darinya adalah wajah dan dua telapak tangan sebab kedua anggota tubuh inilah yang biasa nampak dari kalangan Muslimah di hadapan Nabi Sallalahu alaihi wa Sallam sedangkan baginda mendiamkannya. Kedua anggota tubuh ini pula yang nampak dalam ibadah-ibadah seperti haji dan solat dan biasa terlihat di masa Rasulullah iaitu di masa masih turunnya ayat Al Qur`an [An-Nabhani, 1990:45].

Nabi juga bersabda yang maksudnya, “Wahai Asma’ sesungguhnya seorang wanita itu apabila telah baligh (haidh) maka tidak boleh baginya menampakkan tubuhnya kecuali ini dan ini, seraya menunjukkan wajah dan telapak tangannya.” Hadith Riwayat Abu Dawud

“Tiada seorang perempuan pun yang membuka pakaiannya bukan di rumah suaminya, melainkan dia telah membinasakan tabir antaranya dengan Allah “- Hadis Riwayat Tirmidzi, Abu Daud dan Ibn Majah.


Oleh itu .......................


Memorandum  diserahkan kepada Mufti Perak untuk mengambil tindakan sewajarnya.


Tahniah diucapkan kepada Dewan Pemuda PAS Negeri Perak, menemui Mufti Perak menyerahkan memorandum tersebut. Tindakan itu merupakan suatu langkah yang bijak lagi profesional bagi mendapatkan penjelasan berhubung  "Islamic Fashion Festival" yang sebenarnya menghina syariat Islam dan Nabi Muhammad s.a.w.  Kononnya "festival" ini hendak memperagakan fesyen pakaian Islam tetapi sebalik ianya merupakan satu perbuatan dosa yang mengundang kemurkaan Allah serta kekeliruan umat Islam.

Seluruh umat Islam, berharap YBhg Tan Sri  prihatin terhadap isu ini dengan memberi perhatian dan tindakan sewajarnya menurut memorandum yang diserahkan oleh DPP Negeri Perak tersebut.


Datin Paduka Seri Rosmah Mansor, isteri Perdana Menteri Malaysia
Islamic Fashion Festival pada 10 Ogos 2010
di Monaco Sporting Club, Monte Carlo.

MEMORANDUM MENDESAK TEGURAN TERHADAP DATIN PADUKA SERI ROSMAH MANSOR, ISTERI PERDANA MENTERI MALAYSIA YANG DIDAPATI MENGHINA NABI MUHAMMAD S.A.W

Perkara di atas adalah dirujuk.

Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) ingin menarik perhatian Y.Bhg. Tan Sri terhadap tokoh besar di dalam negara ini yang dilihat bertentangan dengan ajaran Islam yang sebenar. Kami amat kesal kerana Y.Bhg. Tan Sri tidak begitu prihatin untuk memberikan pendapat dan penjelasan sehingga menyebabkan rakyat atau umat Islam keliru terhadap perbuatan tersebut.

Kes isteri pimpinan utama negara, Datin Paduka Seri Rosmah Mansor, isteri Perdana Menteri Malaysia dan juga sebagai Penaung Festival Busana Muslim atau Islamic Fashion Festival telah menganjurkan Festival Busana Muslim pada 10 Ogos 2010 di Monaco Sporting Club, Monte Carlo.




Majlis tersebut secara jelas telah menghina syariat Islam dan Rasulullah s.a.w apabila pakaian yang diperagakan itu bukan pakaian menurut syariat Islam ditambah dengan tulisan "Muhammad" dalam bahasa Arab secara terbalik diguna dan dipakai di dada salah seorang peraga fesyen yang tidak menutup aurat.


Justeru, DPPN Pk ingin menarik perhatian serius Y.Bhg. Tan Sri dalam perkara tersebut untuk bertindak atas sifat ilmu dan kedudukan mulia Y.Bhg. Tan Sri agar dapat memperjelaskan kepada rakyat dan umat Islam akan kekeliruan tersebut . Pihak kami meminta samada Y. Bhg. Tan Sri mengeluarkan satu ketetapan atau fatwa yang jelas supaya umat Islam negara ini tidak terus terkeliru.